Shriya Saran Kajal Agarwal Anushka Shetty Tamanna Ileana Aishwarya Rai Katrina Kaif

Sunday, October 12, 2008

PM Makan Sedulang Dengan Marhaen!

Hari pertama saya masuk pejabat Dubai Internet City (DIC) dalam tahun 2000, terpampang beberapa kata-kata hikmat terpampang di dinding. Waktu itu DIC baru beroperasi dan pejabat sementara itu masih tidak lengkap.
Salah satu kata-kata itu ialah, “In the race of excellence there is no finishing line” dan dibawahnya satu nama ‘Mohamed bin Rashid Al Maktoum’.
Sebagai seorang yang masih baru, nama itu tidak memberi apa-apa makna atau keistimewaan kepada saya. Lantas bertanya salah seorang rakan sekerja (Arab tempatan) yang nampak berbangga dan seakan memperlekeh saya kerana tidak kenal siapa lelaki tersebut.
“Itulah Putera Mahkota Dubai, de-facto emir Dubai yang mencetus idea mengenai DIC!”
DIC adalah salah satu inisiatif awal Sheikh Mohamed, yang juga dikenali sebagai Sheikh Mo. Sepanjang bersama DIC, saya selalu mendengar Sheikh Mo berada di pejabat kami tidak tentu masa, malah turut menjengah kawasan pembinaan kampus DIC di waktu malam. Beliau datang sendiri dengan kereta yang dipandu sendiri, satu yang masih dilakukan sehingga kini untuk meninjau pelbagai projek. Saya belum pernah melihat beliau diiringi oleh pengawal (atau UTK) secara dekat, mungkin dari jauh.
Dalam satu temuramah, Sheikh Mo berkata yang beliau tidak perlukan pengawal peribadi dan police riders kerana ‘Dubai adalah selamat dan saya tidak bimbang dengan keselamatan!”
Memang diketahui umum yang Sheikh Mo adalah seorang yang kuat bekerja dan mempunyai wawasan yang besar mengenai pembangunan masa depan Dubai. Dari DIC, lahirlah pelbagai projek lain yang menjadikan Dubai sebuah kota kosmopolitan yang paling pesat membangun ketika ini.
Ketika ini juga, Sheikh Mo adalah Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE dan Emir Dubai setelah kekandanya, Sheikh Maktoum meninggal dunia awal tahun lalu.
Biografi beliau boleh didapati di http://www.sheikhmohammed.co.ae/
Sebaik Sheikh Mo dilantik sebagai Naib Presiden dan PM UAE, banyak perubahan yang beliau lakukan di peringkat persekutuan. Malah sebagai Emir Dubai, beliau juga terus secara drastik mengubah Dubai ke arah yang lebih maju dari segi prasana (terutama jalanraya dan pengangkutan awam), undang-undang dan perlaksanaan projek hartanah untuk rakyat tempatan. Beliau juga memperbaiki kondisi kerja untuk buruh-buruh yang menjadi tunjak utama pembangunan.
(Warganegara UAE mendapat pelbagai kemudahan, belanja perkahwinan, tabung perumahan dalam RM1 juta sekeluarga, pendidikan percuma ke peringkat Phd, perlindungan kesihatan, insuran diseluruh dunia dan lain-lain yang menjadikan demokrasi yang ingin dibawa oleh Amerika seakan tidak begitu bererti bila rakyat dijaga sepenuhnya!)
Komposisi jemaah menterinya menunjukkan betapa Sheikh Mo begitu yakin dengan mereka yang masih muda, mempunyai kelulusan akademik yang baik serta berpotensi dalam mengendalikan kementerian masing-masing. ‘Monitong system’ juga dibuat dalam memastikan para menterinya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Sebagai PM, Sheikh Mo melawat keseluruhan UAE, terutama kawasan pedalaman. Seperti biasa, beliau turut membuat lawatan mengejut ke beberapa pejabat kerajaan dan sekolah.
Dalam satu lawatan mengejut ke mahkamah sebuah emiriyah, Sheikh Mo datang lebih awal dari hakim dan pekerja yang kebetulan memang biasa untuk datang lewat. Banyak aduan mengenai kelewatan kes yang seakan satu perkara biasa dan budaya tempatan. Beliau segera mengarahkan hakim tersebut diberi tindakan displin dan mengetatkan peraturan mahkamah. Ini juga bukanlah satu perkara luar biasa dilakukan.
Baru-baru ini beliau membawa kesemua anggota kabinet UAE untuk bermesyuarat di emiriyah Fujairah dan bermalam di sebuah Rumah Rehat di kampung Dadna. Beliau turut membawa jemaah kabinetnya belayar di Teluk Oman untuk mengingatkan para menteri tentang kehidupan generasi dahulu. Kemudian sama-sama mandi di sebuah wadi!
Selepas bersolat jumaat di sebuah masjid kampung, seorang nelayan rakyat tempatan yang dalam kegembiraan bertemu dengan Sheikh Mo, menjemput beliau untuk makan tengahari di rumah. Pelawaan itu di sambut oleh Sheikh Mo dan kesemua jemaah kabinet lelaki makan berkongsi dulang dengan marhaen di sebuah rumah kampung. Dari gambar yang tertera di akhbar dan TV, rumah itu kecil sahaja. Bahkan Sheikh Mo begitu berselera menjamah makanan masakan orang kampung!
Sheikh Mo mempunyai bakat dan aktif dalam sukan dan pernah menjadi juara menunggang kuda ‘endurance’ dunia. Selain itu Sheikh Mo adalah seorang penyair yang diakui hekebatan kreativitinya.
Sebaik menjadi PM, beliau menerbitkan sebuah buku yang dianggap penting dalam melihat wawasan seorang pemimpin baru Arab. Buku berbahasa Arab yang mengandungi 13 bab tersebut, “Wawasanku – Cabaran dalam Memburu Kecemerlangan’ memperincikan pembangunan luar biasa Dubai. Disamping memaparkan wawasan beliau yang menggerakkan kejayaan gemilang dalam merubah UAE dan Dubai sebagai pusat ekonomi dan kewangan dunia.
Menurut ramai pengulas, buku tersebut adalah salah satu buku terpenting yang diterbitkan di Timur Tengah sepanjang 50 tahun lalu. Penekanan terhadap pembangunan mengisi keseluruhan wacana termasuk strategi menghadapi globalisasi.
Ditulis secara santai dalam membicarakan subjek yang rumit seperti wawasan, kepimpinan, pengurusan negara, pengembangan kepakaran dan modal insan untuk menrealisasikan pembangunan negara.
Sheikh Mo menggunakan penglibatan harian secara peribadi beliau dalam pelbagai projek sebagai asas kerjanya sebagai PM. Pengalaman langsung beliau dalam menangani cabaran serta panduan yang diberikan kepada kepimpinan bawahan menjadikan kandungan buku ini begitu terserlah dalam menerangkan mengenai proses pembangunan dan pemodenan UAE.
Sheikh Mo boleh sahaja dianggap pemimpin baru dunia Islam yang boleh dijadikan role model. Malah buku beliau sesuai buat semua muslim, terutama pemimpin negara-negara Islam yang boleh mempelajari strategi dan perlaksaanan yang berjaya mengubah Dubai dalam waktu yang singkat.
Buku versi Inggeris akan diterbitkan tidak lama lagi.
Sesungguhnya rakyat UAE dan ekspatriat yang menumpang berteduh di UAE memang bertuah mempunyai seorang pemimpin segigih dan sehebat Sheikh Mohamed bin Rashid Al Maktoum!

Selamatkanlah Malaysia

suara dari papan kekunci
tanpa wajah
bertopeng
sureal
menghampar gelombang
yang membawa panas lava
muntahan gelodak marhaen
dari saujana penjara realiti
yang dikelilingi tembok besi
akta-akta drakonian
memagari ketuanan kelompok elit
yang terus ketawa membuncit
membaham khazanah warisan
dulu, kini dan selamanya

kami yang celik minda
tidak dibutakan propaganda
dan segala faktor feel good
memenuhi ruang superfisial
setelah jenuh menghidu kebusukan
tahi-tahi kebobrokan
kepimpinan bangsat
tumpah terpalit merata-rata
disebalik warna-warna meriah
satu sambutan 50 tahun perayaan
kemerdekaan
kebebasan
yang maknanya semakin sempit
dikurung haloba kerakusan
hantu-hantu junta nasional
barisan yang jumud
demi survival perut

hari ini, telah bangkit
diantara imej-imej di layar
kata-kata berjalur lebar
tumbuh ikon-ikon baru
menongkah ke puncak zaman
era generasi keramat
dan memuncak satu nama
seorang anak raja
bertakhta di siber raya
negara baru malaysia-today
yang kian menggoncang
sarang-sarang perompak
yang masih diulai indah mimpi
sumbang beraja dihati
dengan kerapuhan akhlak peribadi

dari layar ke jalanraya
bergema ke planet bumi
ayuh kita gempur
dan tidak undur
dalam satu barisan rakyat
dan satu suara keramat
'selamatkanlah MALAYSIA!"

Fudzail
Dubai, UAE

Rahsia Hitam


Sebaik meninggalkan hospital, perasaan Kamisah kembali bercampur baur. Wajah Hashimah yang kelihatan pasrah dengan segala yang dialami dan suasana wad merentas kesesakan jalan raya sewaktu hujan lebat di lebuh raya persekutuan. Imej-imej bercampur-baur bersama seribu bayangan melantun dari semua arah sama mengganggu penumpuan Kamisah untuk memandu. Begitulah, Hashimah telah pasrah menerima takdir perjalanan hidupnya. Barah payu dara yang semakin parah bakal merenggut nyawa dan dia telah bersedia. Bersedia untuk berpindah ke dunia lain. Sesuatu yang pasti buat semua tetapi Hashimah mempunyai jangka masa untuk bersedia. Begitulah dalam setiap sesuatu yang berlaku, biarpun dalam bentuk musibah, tentu ada rahmat dalam dugaan yang melanda. Pertemuan yang penuh emosional itu menganjak setiap ruang ke stesen transit waktu. Telah lama kedua-dua sahabat di universiti tidak bertemu. Dijarakkan oleh karier, rumah tangga, jarak ruang mahupun perlumbaan dunia dalam mengejar kepuasan. Sepuluh tahun begitu pantas apabila kehidupan semakin ke perbatasan. Tidak seperti pertemuan terakhir sebelumnya sedekad lalu, Hashimah tidak lagi becok dengan segala gosip dan cerita sensasi. Dia hanya tersenyum, bercakap apa yang perlu dan setiap kali adalah nasihat sebagai wasiat. Tiada nostalgia dan tiada memori sentimental. Kamisah sesekali memandang ke arah dua anak lelaki dan seorang anak perempuan Hashimah yang kelihatan sugul. Mungkin masih belum menerima hakikat dan fikiran dipenuhi pelbagai bayangan. Mereka akan kehilangan seorang ibu dalam waktu terdekat. Dan di satu sudut, Mokhzan, suami Hashimah duduk memandang kosong. Tidak pasti apa perasaan seorang suami dalam keadaan begitu setelah dua puluh tahun berkongsi kehidupan. Kebanyakan lelaki akan segera mencari pengganti, malah yang isterinya segar bugar pun mencari yang lain apabila isteri dimamah usia. Lantas mengingatkan Kamisah kepada suami dan anak-anak, sekiranya dia dalam situasi Hashimah. Menunggu nafas terakhir untuk meninggalkan ruang fana. Terutama pada Badrul, sang suami yang kini di perantauan, bersendirian pada musim panas gurun timur tengah. (Jun 2001) Badrul kelihatan amat letih sebaik masuk ke apartmen. “Beginilah kerja dengan pak Arab, dibuat kita macam hamba abdi, padahal beratus tahun Islam telah menghapuskan perhambaan!” Malam hujung minggu yang bersuhu panas mungkin sama memanaskan hatinya. Dia memang panas baran, cepat naik darah dan cepat bertindak di luar kawalan. Sesuatu yang diketahui hanya selepas perkahwinan, selepas musim romantis dalam alam percintaan berakhir. Keindahan percintaan tidak berpanjangan. Perkahwinan mengubah ekspektasi alam indah percintaan dan mengubah perwatakan yang selama ini adalah lakonan. Kamisah terus cuba membiasakan perubahan yang semakin janggal. Sejak setahun berada di kota Dubai, Badrul memang sentiasa sibuk dengan projek pembangunan hartanah yang dikatakan bakal mengubah Dubai sebagai kota kewangan kepada kota pelancongan paling mega di muka bumi. “Sudahlah kita kena buat dua tiga kerja sekali gus sebab orang lain bercuti, lepas itu banyak jadual tergendala dan banyak yang mahu diubah kerana mahu jimatkan kos, apa dia orang ingat kita ini Superman, Batman, Spiderman, X-man?” Berkepul asap rokok di beranda. Seperti biasa, Kamisah yang maklum mengenai tabiat suaminya, terus diam sambil mendengar. Membiarkan Badrul melepaskan segala tekanan yang terbuku dan kadangkala melucukan juga. Sejak di Dubai juga, rambut Badrul semakin menipis. Lebih daripada itu, semakin terasa semakin renggang dengan keluarga, asyik menghabiskan waktu di pejabat dan kawasan projek. Sebagai salah seorang pengurus projek, Badrul memang memberi komitmen sepenuhnya. Seakan hidup matinya bergantung pada berjaya atau tidak projek mengikut jadual. Tentunya semakin kerap dengan panas barannya, terutama apabila di rumah. Kamisah tidak bekerja sebaik berpindah ke Dubai. Dengan dua anak-anak remaja bersekolah, banyak masa terluang. Sesuatu yang dahulu terlalu diimpikan sewaktu bekerja di Kuala Lumpur dan kini sesuatu yang memberi tekanan. Kamisah mahu kembali ke alam pekerjaan seperti dahulu. Walau perpindahan ke Dubai seakan memberi nafas baru dalam menguak kelemasan dan kerimasan. Menumpang kebahagiaan superfisial dalam sebuah istana impian selama ini. Ternyata, Kamisah terus juga kelemasan di saujana gurun dalam mencari setiap yang hilang dan setiap yang tidak dimiliki. Begitupun majoriti isteri ekspatriat Malaysia tidak bekerja atas pilihan sendiri dan tentunya dengan pendapatan suami yang berkali ganda banyak dari tanah air, lebih baik menjadi suri rumah sepenuh masa. Malah berkesempatan untuk ke kelas belajar al-Quran, belajar bahasa Arab dan bergaul dengan pelbagai warga negara dunia yang menjadi majoriti penduduk Dubai. Membuka horizon baru dalam menambahkan khazanah pengetahuan, aktiviti yang mungkin tidak berpeluang dilakukan kalau terus mengejar waktu ke pejabat sebagai wanita berkarier dan bergegas untuk pulang ke rumah sebagai isteri dan ibu. “Bodoh, bodoh! Konsultan yang dipilih pak Arab itu pun semua bodoh, mentang-mentang kulit putih dengan pasport negara maju, padahal bodoh, sudahlah bodoh, sombong pula, kita pulak yang buat kerja dia orang macam orang bodoh!” Sekali lagi Badrul melepaskan apa yang terbuku selama ini ke arah neon-neon gemerlapan kota Dubai dari tingkat 30. Kesekian kali malam musim panas dengan kelembapan yang tinggi. Kamisah terus mendengar, tidak perlu mengulas atau bertanya apa-apa. Hanya perlu menyerap setiap lava dari gunung berapi yang meletup dan muntah dari Badrul. Sudah cukup apa yang pernah terjadi kalau cuba memberi pendapat apabila lava memuntah dahsyat, bisik Kamisah sambil menggosok beberapa parut di bahu yang sering memberi igauan buruk terhadap Badrul dan panas barannya. (Jun 2007) Hashimah telah selamat dikebumikan. Dikebumikan bersama satu rahsia yang sempat dikongsi pada hari-hari terakhir seorang sahabat paling rapat. Tentunya rahsia itu tidak akan kebocoran. Segala-galanya urusan pengebumian begitu ringkas dan mudah dalam hujan renyai-renyai. Begitu surreal dalam wajah-wajah sugul, terutama anak-anaknya yang tidak henti meraung. Talkin juga ringkas tetapi seperti biasa, memberi panahan ke jantung mengenai realiti kehidupan. Memang ramai kenalan lama dari universiti yang hadir. Seakan sebuah majlis reunion kecil di tanah perkuburan. Dalam kesedihan, tentunya ada sedikit kegembiraan untuk bertemu kawan-kawan lama, yang kebanyakkannya telah lama tidak bersua muka. Sekadar melalui yahoogroup dan cerita-cerita mulut dari yang lain. “Kamisah?” Satu suara garau menyapa di pintu keluar tanah perkuburan.Kamisah menoleh. Seorang lelaki yang nampak agak berusia itu tiba-tiba meragut ketenangan. Satu wajah yang sukar dilupakan. Walau ingin sekali dilupakan dalam setiap masa silam yang tersisa pada musim-musim bunga. (April 2005) Kamisah membaca entri terbaru dalam blog Diana. Dia mengetahui kewujudan blog anak sulung perempuannya yang berusia 13 tahun itu secara tidak sengaja. Sejak pasti blog itu ditulis Diana, maka setiap pagi, sebaik Diana dan adiknya Danial ke sekolah serta Badrul ke pejabat, Kamisah akan mengakses Internet untuk ke blog Dilema Seorang Anak Dara Melayu di Gurun. Dia tidak sengaja terserempak dengan blog itu dan menyangka Diana mungkin mahu merahsiakannya. Kamisah juga tidak mahu Diana tahu yang dia sebagai ibu tahu kewujudan blog tersebut. Mula-mula apa yang dicatat sekadar kisah kawan-kawan, guru-guru dan suasana di sekolah, kemudian bertukar pengamatan Diana terhadap keluarga, terutama ayah dan ibunya. Sesuatu yang menjadikan Kamisah begitu berminat, kalau tidak bertambah tertekan. Pengamatan Diana terhadap apa yang terjadi dalam rumah tangga mereka cukup berterus-terang dalam identiti samaran. Alangkah baiknya kalau dia juga boleh berterus-terang dengan Diana. Tetapi ada baiknya dia mengetahui apa yang tersirat dalam minda anaknya melalui blog kerana dia sendiri belum bersedia untuk bersemuka. Bimbang dengan segala kemungkinan yang boleh menjejaskan hubungan ibu dan anak. Pastinya, dia belum yakin dengan dirinya sendiri walaupun Diana sudah boleh menerima hakikat. Anak zaman sekarang lebih terbuka, apalagi dengan kehidupan kosmopolitan Dubai. Entri itu adalah sambungan entri sebelumnya. Catatan mengenai panas baran seorang ayah dan beberapa peristiwa yang meninggalkan kesan buat seorang anak. Pedih sekali untuk membaca kesan ketakutan dan kesan igauan buruk yang dialami Diana dan mengubah persepsi terhadap ekspektasi masa depan. Bertambah pedih buat Kamisah apabila yang tercatat adalah kehidupannya sendiri! (Januari 1997) Dalam dikelilingi kawan-kawan lama di universiti, hatinya berbelah bagi, emosi pun bercampur baur. Apalagi melihat gelagat becok Hashimah yang tidak henti mengusik Shahrul. Satu-satunya di antara mereka yang sama-sama menjadi graduan yang belum berkahwin. Lantas meriah suasana di Subang dengan cerita-cerita lama. Shahrul tidak kisah dengan ejekan, sindiran dan kutukan sebagai bujang lapuk. Malah Shahrul sama membuat jenaka mengenai kehidupan bujang senang, sebagai konsultan pengiklanan di dunia yang dipenuhi wanita seksi dan glamor. Setelah sepuluh tahun meninggalkan universiti, kemesraan antara mereka yang berkongsi kampus dan alam remaja masih sahaja seperti dalam suasana sama. Bersama deretan memori yang berbalam dan ada di antaranya cuba dilupakan. Tetapi tetap jatuh lagikan dikenang. Tidak mudah melupakan sesuatu yang tumbuh dan menjadi sebahagian daripada kehidupan remaja. Hati Kamisah berdetik setiap kali Shahrul tersenyum dan sesekali mengenyit mata. Tetapi imej-imej Badrul dengan wajah bengis juga menerpa. Tidak dapat tidak, sejenak terkeliru dalam membandingkan kedua-duanya. Kebetulan sepanjang dua tahun lalu, Shahrul sering ke pejabatnya di sebuah syarikat penerbitan gergasi. Sesuatu yang bukan di luar dugaan, kalau hubungan kasual menjadi agak intim. Apalagi Kamisah tercari-cari escapisme, pelarian daripada suasana rumah tangga yang semakin longgar. Kesibukan karier dan bahana panas baran dalam rumah tangga dekad sembilan puluhan yang menjadikan ruang tidak lagi selesa untuk berkomunikasi. “Jauh termenung, sudah sampai New York?” Hashimah mengusik Kamisah sebaik melambai ke arah Shahrul yang memasuki pintu ke terminal penerbangan. Kamisah tidak dapat berselindung, air matanya perlahan turun di pipi. Itulah kali terakhir Kamisah menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Subang. Kali terakhir juga dia melihat Shahrul yang berangkat untuk melanjutkan pengajian Phd di New York. Bersama satu rahsia yang menghantui perjalanan ruang kehidupan seterusnya. (Julai 2007) “Ibu tidak pernah terlepas membaca blog Diana!” Kamisah berkata perlahan dalam bahasa Arab pasar di wad kelas pertama sebuah hospital swasta Kelana Jaya. Ketika semua pelawat telah pulang. Sengaja berbahasa Arab untuk mengelakkan difahami Danial yang lebih fasih berbahasa Perancis daripada Arab. Mereka tiga beranak yang tinggal menemani Badrul. Baru malam pertama di wad pada hari pertama tiba di tanah air dan sudah terasa kesunyian di tanah air sendiri. Diana tersenyum. Sepatutnya dia telah mendaftar di program matrikulasi UIA, tetapi Badrul dikejarkan ke hospital setelah mengadu sakit belakang sebaik mendarat di KLIA. “Diana tahu dan tidak kisah pun!” Bahasa Arab Diana lebih mantap dengan sebutan yang tepat. Kamisah tidak juga terkejut, sambil menoleh ke arah Badrul yang telah nyenyak tidur. Manakala Danial asyik dengan PSP sambil sesekali menoleh ke skrin TV. Sejak Diana selesai peperiksaan gred 10 di sekolah antarabangsa kurikulum Amerika di Dubai, banyak sekali mereka berdua bercerita tentang apa sahaja yang dianggap rahsia, kecuali mengenai blog Diana. Kamisah mahu menyimpan rahsia yang dia tahu siapa empunya blog Dilema Seorang Anak Dara Melayu di Gurun. “Jadi Diana tidak mahu merahsiakannya?” “Apa yang mahu dirahsiakan dalam dunia siber, lagipun apa yang Diana catat dalam blog adalah pendapat peribadi, mungkin betul mungkin salah!” “Tetapi kebanyakan yang Diana tulis mengenai ibu adalah betul. Tajam sekali pengamatan Diana!” Diana memandang ayahnya. Wajah Badrul pucat dan bernafas agak kuat menggunakan oksigen. Dia tidak begitu mesra dan rapat dengan ayahnya sendiri, sejak peristiwa melihat ibunya dipukul beberapa kali. Rasa takut, marah dan dendam mengisi keremajaannya, menjadikan dia mempunyai prasangka dengan kawan-kawan lelaki yang mahu merapatinya. “Bagaimana pula pengamatan Diana terhadap ayah, sebagai suami yang tewas dengan panas barannya. Apakah tepat apa yang dicatat Diana?” Kamisah terdiam lama mencari jawapan. Dalam cuba menjadi lebih telus dengan Diana, tiba-tiba Kamisah terasa belum bersedia. “Setiap manusia mempunyai kelemahan dan setiap kelemahan yang ada pada seseorang adalah dugaan buat orang lain. Ibu juga mempunyai kelemahan!” Diana tahu jawapan ibunya lebih bersifat politically correct. Tidak mengiyakan dan tidak menidakkan kenyataan. Tetapi ada sesuatu yang berdenyut dalam kotak fikirannya. Sesuatu yang mahu dilepaskan untuk melegakan perasaan. Semenjak ibunya mula bercerita tentang pelbagai rahsia kewanitaan dan tentunya rahsia kecantikan. Termasuk rahsia-rahsia peribadi, sebaik Diana selesai peperiksaan Gred 10 dan bersiap untuk ke universiti. Sebagai tanda Kamisah telah mengiktiraf kematangan anak dara tunggalnya. Juga untuk menjadi lebih rapat. Diana menoleh ke arah ayahnya dan sekilas bertanya dengan serius ke arah ibunya. “Bagaimana agaknya kalau ayah tidak dapat bertahan dengan barah prostat ini, bagaimana dengan rahsia hitam ibu? Apakah ibu mahu memberitahu ayah apa yang yang terjadi atau akan terus menanggung dosa untuk selama-lamanya demi sebuah rahsia?” Biodata: FUDZAIL MOHD NOR FUDZAIL, lulusan sains komputer dari New Zealand, bermastautin di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sejak 2000. Beliau mengetuai jabatan teknologi maklumat dan telekomunikasi di sebuah syarikat pemaju hartanah terbesar di dunia. Boleh dihubungi melalui

No comments:

Post a Comment